Permohonan menjadi anggota hendaklah dibuat di dalam borang rasmi Koperasi ini dan dialamatkan kepada setiausaha Koperasi atau pegawai Koperasi yang dipertanggungjawabkan.
Fi masuk
Tiap-tiap permohonan menjadi anggota hendaklah disertakan dengan fi masuk sebanyak RM100.00 dan juga minima share sebanyak RM100.00. Fi masuk akan dikembalikan kepada pemohon Jika permohonannya ditolak oleh Lembaga.
Bekas anggota yang memohon untuk menjadi anggota semula dikenakan fi masuk sebanyak RM200.00.
Penama atau wakil yang sah kepada anggota yang mati jika memohon untuk menjadi anggota dalam tempoh tiga bulan selepas kematian anggota itu tidak dikenakan fi masuk.
Akuan anggota
Seseorang yang memohon untuk menjadi anggota hendaklah menandatangani suatu akuan bahawa dia :
» Akan terikat dengan Undang-undang Kecil ini dan aturan aktiviti yang sedia ada serta apa-apa pindaan
» Bukan seorang bankrap yang belum dilepaskan
» Bukan seorang yang terhadapnya masih berkuatkuasa suatu sabitan bagi kesalahan yang boleh daftar
» Tidak pernah dibuang daripada menjadi anggota di bawah Akta dalam tempoh satu tahun.
Mana-mana pemohon yang enggan menandatangani akuan tersebut tidak boleh diterima menjadi anggota.
Seseorang yang telah menjadi anggota dengan sebab turut sama dalam membuat permohonan bagi pendaftaran Koperasi ini dan mereka yang telah menandatangani minit mesyuarat agung permulaan Koperasi ini, dikehendaki menandatangani akuan menurut fasal (1) dalam tempoh empat puluh lima hari selepas diterima perakuan pendaftaran Koperasi.
Penerimaan menjadi anggota
Permohonan menjadi anggota hendaklah dipertimbangkan oleh Lembaga di dalam mesyuaratnya yang boleh menerima atau menolak sesuatu permohonan itu. Lembaga hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada setiap pemohon dalam tempoh tidak lewat daripada tiga puluh hari selepas keputusan dibuat ke atas permohonan mereka.