Sejarah Penubuhan Koperasi Muhammad Aishah Mandak (M.A.M)
Pada asalnya, idea penubuhan Koperasi datangnya daripada Almarhum Timbalan Pengerusi Persatuan Muhammad Aishah Mandak iaitu YM Tengku Dato' Ubaidillah bin Tengku Abdul Kadir dan juga beberapa ahli jawatankuasa pada tahun 2006 iaitu YAM Tengku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, YM Tengku Dato' Aman Shah bin Tengku Dato' Ismail dan juga ahli jawatankuasa yang lain.
Muhammad Aishah Mandak merupakan gabungan nama YAM Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad ibni Almarhum Sultan Ahmad al-Muazzam Shah dan juga isterinya YM Tengku Hajah Aishah Mandak binti Tengku Mustafa. YAM Tengku Muhammad merupakan Menteri Besar Pahang bagi menggantikan Tun Razak pada 15 Jun 1955 sehingga 8 Januari 1957. Kedua-duanya merupakan ayahanda dan bonda kepada Almarhumah bonda KDYMM Al-Sultan Pahang sekarang. Tertubuhnya Koperasi ini adalah bagi menjana pendapatan yang keuntungannya akan disalurkan kepada Persatuan Muhammad Aishah Mandak yang memberi bantuan pendidikan, bantuan apabila musibah, bantuan kelahiran dan juga khairat kematian bagi ahli-ahli Persatuan dan Koperasi yang merupakan ahli keluarga besar Muhammad Aishah Mandak.
Idea berkenaan telah diusul kembali pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan MAM pada 2015 oleh Tuanku Pengerusi yakni KDYMM Al-Sultan Abdullah dan juga Timbalan Pengerusi, Tengku Dato' Sri Uzir bin Tengku Dato' Ubaidillah. Maka, tertubuhlah secara rasmi, Koperasi Muhammad Aishah Mandak Berhad pada 20 November 2015.
Di awal permulaan Koperasi telah dipengerusikan oleh YAM Tengku Puteri Seri Lela Manja, Tengku Nong Fatimah binti Almarhum Sultan Ahmad Shah, adinda KDYMM Al-Sultan bersama ahli jawatankuasa yang lain seperti YM Raja Dato' Sri Karib Shah Bin Raja Shahrudin, YM Tengku Dato' Zaman bin Tengku Ariff, Allahyarham YM Tengku Dato' Sri Muhamad Mazlan, YM Tengku Dato' Muhammad Mustaffa dan juga Tengku Dato' Abdul Aziz.
Diawal penubuhan koperasi, pelbagai usaha telah dijalankan seperti pemohonan beberapa kawasan kelapa sawit di Negeri Pahang untuk tujuan penanaman kelapa sawit dan juga tanah komersil di KOTASAS tetapi tidak berhasil. Sekarang, Koperasi Muhammad Aishah Mandak sedang mengusahakan tanah seluas 117 ekar di Lot PT No. 003522 di Batu 8, Lepar, Mukim Pulau Manis,Daerah Pekan, Pahang Darul Makmur kurniaan ehsan KDYMM Al-Sultan Abdullah.
Insyallah dengan pucuk pimpinan YM Tengku Dato' Sri Uzir bin Tengku Dato' Ubaidillah dan Penasihat Ekonomi YM Tengku Dato' Indera Zubir bin Tengku Dato' Ubaidillah yang menerajui generasi ketiga dan generasi keempat waris keluarga Muhammad Aishah Mandak, projek ini bakal menjadi titik permulaan kepada Koperasi untuk memulakan langkah dalam bidang kelapa sawit dan seterusnya cabang-cabang ekonomi yang lain.